Tanpamu siapalah aku.


Insan terpilih itu sering kali berdiam diri
Jika ditanya apa maksud lilin membakar diri
Mungkin kah maksudnya menghukum diri
Dia tersenyum, "ini rahsia dan rasa hati"

Aku runsing sambil berbaring
Kutenung kipas berputar di'ceiling'
Otak ku ligat berpusing-pusing
Kepala ku berdenyut-denyut pening

Lalu aku terlelap.

Seusai dari jaga
Aku mengeluh panjang tanpa kata
Mata berkelip-kelip penuh tanda tanya
Apakah ini hanya peribahasa semata
Atau kata-kata orang dahulu kala

Diam seribu bahasa.

Tahun berlalu, insan terpilih itu berganti yang lain, suasana yang lain, tapi masih hakikat yang sama. Frasa "lilin membakar diri" masih menjadi frasa ajaib buatku.

Apa lilin itu sengaja dibakar, apa lilin itu kelak hanya tinggal tompok putih di atas tin-tin biskut, di atas pinggan-pinggan terpakai, atau di dalam mangkuk dan cawan? Apa itu lilin membakar diri?

Saban tahun, aku menunggu jawapan
Barangkali ilham dari Tuhan
Walau hati ini sentiasa tidak keruan
Menilik teka bahasa ilmuan
Mencerna rakus suapan santapan
Membeza ralat tulen dan tiruan
Membaca teks sains dan hidupan

Sehingga bila, hanya ditangan Tuhan.

POSTED BY Omar Shamsuddin
POSTED IN
DISCUSSION